Thursday, October 24, 2013

BUKU PERTAMA

"lAUTAN KASIH BERPANTAI SAYANG,
MALAM TERMIMPI SIANG TERBAYANG"

Antologi gurindam Lautan Kasih Berpantai Sayang karya Mas Adeki atau nama sebenarnya Tuan Haji Mohd Sidek Bin Mohd Dollah. Buku ini memuatkan 37 koleksi gurindam yang mengangkat tema pendidikan, pembelajaran, patriotisme dan kekeluargaan. Selain mengungkapkan puisi tradisional yang mengandungi nilai-nilai murni.

Gurindam merupakan puisi Melayu lama tergolong dalam kumpulan puisi didaktik yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu untuk memberi nasihat, pesanan dan pedoman kepada khalayak. Buku ini juga boleh dijadikan bahan rujukan, motivasi dan pencetus semangat ke arah modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Unsur pengajaran dan penghayatan dalam gurindam dapat dilihat dengan jelas melalui idea yang bernas, pemikiran yang tajam di samping keindahan bahasanya.

Buku ini mengandungi gurindam bentuk terikat terdiri daripada dua baris yang berpasangan dan rima setiap baris kebanyakannya sama. Baris pertama sebagai syarat manakala baris kedua sebagai jawapan. Isi kandungannya tersurat dan tersirat nasihat serta pengajaran.

BIODATA

Mas Adeki ialah nama pena Mohd Sidek Bin Mohd Dollah. Dilahirkan pada 15 Ogos 1950 di Simpang Rengam, Johor. Mendapat pendidikan awal di Sk. Simpang Rengam dan Sekolah Menengah SES Kluang Johor. Berkhidmat sebagai anggota Polis, Skuad 69 PDRM, Pasukan Polis Hutan, Briged Tengah, tahun 1969 hingga 1975. Beliau pernah bertugas di perbatasan Malaysia - Thailand dan Sabah Sarawak.

Beliau menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Bahasa (MPB/LI) Kuala Lumpur. Seterusnya menjadi guru Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu. Pada tahun 1986 beliau memperolehi kelulusan Ijazah Bacelor Pendidikan Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pertama dan Kesusasteraan Melayu dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Mohd Sidek Bin Mohd Dollah pernah menjadi anggota polis, guru, penyelia petang, penolong kanan kemudian menjawat jawatan pengetua sekolah. Di samping itu, beliau sering dijemput memberi ceramah motivasi yang bertemakan Kecemerlangan Pelajar, Keibubapaan dan Profesion Perguruan.

"Lautan Kasih Berpantai Sayang" - Mas Adeki memuatkan 37 koleksi gurindam belian yang kedua. Beliau sesungguhnya telah dianugerahi bakat dalam bidang penulisan puisi untuk merakamkan catatan dan pengalaman hidup merentasi kemanusiaan sejagat terutamanya dalam genre penulisan puisi gurindam. Gurindam-gurindam beliau mengandungi nasihat dan pengajaran melalui bait-bait kata yang indah untuk dihayati oleh pembaca.

INSAN CEMERLANG ADA WAWASAN
INSAN MALANG ADA WASWASAN

No comments:

Post a Comment